Lelaki Malaysia Tidak Romantik?

Setiap wanita sering kali mengidamkan pasangan berjiwa romantik yang kononnya dapat membahagiakan mereka. Tetapi adakah semua lelaki tergolong dalam kategori itu? Satu kajian antarabangsa yang dijalankan beberapa tahun lalu mendapati lelaki Asia tidak romantik dan sukar menunjukkan sifat penyayang kepada pasangannya. Pendapat umum secara rambang mengatakan kebanyakan lelaki hanya bersikap romantik ketika di awal percintaan tetapi berubah selepas mendirikan rumah tangga. Namun ada yang tidak sedar, kadang kala sifat itu adalah semula jadi dan biasanya dilakukan secara spontan dan bukan dirancang.

Kebanyakan lelaki pula tidak menafikan sifat romantik mereka akan membuatkan pasangannya bahagia dan wanita terasa lebih disayangi, tetapi tidak kurang juga yang berpendapat sifat itu ada kala merimaskan. Bagi lelaki, sifat romantik hanya boleh dilakukan pada waktu tertentu, mengikut keadaan dan tempat sesuai serta hari sambutan yang diraikan pasangan masing-masing.

Malangnya ada wanita tidak memahami perasaan lelaki yang kebanyakannya sukar menunjukkan sifat romantis dan timbul perkara negatif seperti pergaduhan, krisis, menjalinkan hubungan dengan orang lain dan sebagainya.

Bagi wanita pula hari paling istimewa adalah seperti sambutan hari lahir, ulang tahun perkenalan dan hari kekasih. Mereka selalunya menanti sesuatu yang boleh menjadi kejutan daripada suami atau teman lelaki seperti hadiah, bunga, coklat dan sebagainya.

Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Suzana Mohd Hoesni, berkata dari sudut psikologi, terdapat banyak teori yang menerangkan mengenai cinta romantik.

Teori itu yang menggunakan pendekatan intimasi pelbagai dimensi dikenali sebagai Teori Tipologi Cinta yang mana setiap individu lelaki mahupun wanita, dikategorikan kepada enam cara gaya cinta. Cinta itu adalah Storge (Kawan Karib), Agape (Pengorbanan), Mania (Kepunyaan), Pragma (Logikal), Ludus (Permainan) dan Eros (Romantis).

“Cinta romantis diklasifikasikan sebagai cinta utama yang ada daya tarikan fizikal. Individu yang mempunyai cinta Eros juga obses dengan pasangannya. Mereka selalu menginginkan perpaduan dalam perhubungan cinta termasuk minat dan identiti. Perhubungan cinta Eros itu juga penuh dengan keindahan dan kemesraan yang ditunjuk sepenuhnya dengan membabitkan perasaan menyeluruh, mantap dan termaktub.

“Antara lain, individu berkenaan juga mahukan pasangan menikmati kegemilangan cinta dengan mengingati semua peristiwa dan aktiviti yang dilakukan, memberi hadiah dan mempamerkan kemesraan kepada pasangannya,” katanya ketika dihubungi di sini, baru-baru ini.

Hasil kajian terdahulu mendapati bahawa gaya cinta yang cenderung dimiliki wanita adalah Storge, Pragma dan Agape, manakala jenis cinta yang sering dimiliki lelaki adalah Ludus yang kebanyakannya terdiri daripada mereka yang berada dalam lingkungan akhir remaja sehingga dewasa awal.

Suzana berkata, satu kajian dijalankan untuk memahami mengenai kewujudan cinta di kalangan pasangan berkahwin mendapati gaya cinta yang cenderung dimiliki mereka mempunyai kepuasan perkahwinan tinggi terdiri daripada golongan Storge dan Eros, manakala mereka yang mempunyai kepuasan perkahwinan yang rendah berkait rapat dengan gaya cinta Ludus.

Bagi seorang pekerja sebuah syarikat permotoran, Mohd Syaiful Zainol, 23, yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang, berpendapat romantik adalah sesuatu yang subjektif. Sifat ini bukan ada pada semua lelaki tetapi ia datang dari hati seorang yang mahu memberikan kasih kepada insan tercinta.

“Romantik itu bukan sekadar memberi patung beruang (teddy bear), kad yang penuh dengan kata cinta, bunga pada hari teristimewa, berpegangan tangan ketika berjalan bersama dan makan dengan bercahayakan lilin di hotel mewah atau restoran. Tetapi lebih romantik sekiranya lelaki itu membelai kekasihnya, mengesat air mata ketika dia dalam keadaan sedih serta memberi kata-kata yang romantis mengikut waktu yang bersesuaian.

“Romantis tidak boleh dibuat-buat atau berlakon kerana itu seperti tidak ikhlas, bagaimanapun romantis datang dari hati dan naluri yang inginkan wanita itu mengingati ketika saat genting seperti pergaduhan dan sebagainya. Sifat romantik perlu dihargai oleh wanita kerana ia adalah masa yang sukar dikecapi oleh mereka,” katanya.

Ada lelaki yang secara zahirnya dilahirkan dengan sikap yang sangat diidamkan setiap wanita. Selalunya lelaki seperti itu, akan melayan kerenah wanita tanpa mengeluarkan perkataan yang menyinggung. Mereka juga menghargai seorang wanita seperti ‘menatang minyak yang penuh serta tidak akan membiarkannya tumpah walaupun setitik’.

Lelaki seperti itu sering melayan kekasih dengan lembut di mana cara itu, akan membuatkan wanita yang mendampinginya berasa seperti dimanjakan dan selamat. Bagaimanapun, awas lelaki seperti itu, bukan semuanya boleh dipercayai. Mereka juga ada kala akan mengambil kesempatan tanpa disedari.

cover_s

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s